KUALA LUMPUR: Satu pasukan khas yang ditubuhkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menyiasat dakwaan perlakuan antipersaingan dalam industri ayam negara akan membentangkan hasil siasatan mereka pada Isnin ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pasukan khas berkenaan akan mengemukakan dapatan mereka kepada anggota-anggota suruhanjaya itu yang bertindak sebagai sebuah badan separa kehakiman yang mempunyai kuasa memutuskan sama ada terdapat pelanggaran terhadap Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

“Pagi tadi saya difahamkan oleh pihak MyCC, mereka jelas mengatakan seperti yang dijanji sebelum penghujung bulan Jun ini siasatan selesai dan akan dikemukakan kepada jawatankuasa mereka Isnin ni,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Op Anti-sorok bersama pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur hari ini.

MyCC telah menubuhkan pasukan khas pada awal Februari lepas untuk menyiasat dakwaan terdapatnya perlakuan antipersaingan merangkumi perjanjian antipersaingan dan penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga-harga barangan dalam pasaran industri ayam.

Pasukan khas MyCC telah memulakan penyiasatan terhadap kesemua pemain industri ayam di seluruh malaysia daripada peringkat huluan hingga hiliran.